Rasuah!!

62 pegawai JKDM ditahan - SPRM PUTRAJAYA 2 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta pelbagai kesalahan lain dalam 'Operasi 3b' yang diadakan sepanjang minggu ini. Mereka terdiri daripada 53 lelaki dan sembilan perempuan berusia antara 24 hingga 53 tahun. Daripada jumlah itu, seramai 17 pegawai termasuk seorang yang berpangkat pengarah masih direman manakala selebihnya dibebaskan atas jaminan. Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, penahanan itu membolehkan pihaknya membongkar pelbagai aktiviti mencurigakan membabitkan pegawai pasukan penguat kuasa itu. Menurut beliau, antara pembongkaran yang ditemui adalah terdapat pegawai yang memiliki kereta mewah, jam tangan buatan emas, jongkong emas serta menyimpan wang tunai yang banyak. Beliau mendedahkan, seorang pegawai kanan berpangkat pengarah memiliki wang tunai RM65,000 yang ditemui berselerakan dalam rumahnya dan memiliki RM2.1 juta dan RM500,000 dalam dua akaun berasingan. "Selain itu, kami turut menemui berkotak-kotak bunga api dan mercun serta rokok-rokok kretek di rumah pengarah tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Operasi 3B tersebut diadakan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk membongkar aktiviti pegawai kastam di pelabuhan yang meminta dan menerima wang rasuah daripada ejen penghantaran. Mustafar berkata, terdapat juga pegawai mengaku menerima RM100 untuk setiap borang pengisytiharan duti K1 yang diproses dalam tempoh lima bulan yang lalu. Beliau berkata, SPRM turut menemui wang simpanan sebanyak RM850,000 dalam sebuah akaun serta simpanan Amanah Saham Bumiputera bernilai RM200,000. "Selain pegawai yang menerima RM10,000 setiap bulan, kami turut mendapati ada pegawai yang memakai kenderaan mewah Toyota Estima walaupun gaji mereka tidak tinggi. "Turut dijumpai dalam operasi adalah lima ketul jongkong emas bernilai RM50,000, jam tangan mewah yang dibuat daripada emas, dua pucuk pistol tiruan dan 241 butir peluru," katanya. Mustafar berkata, operasi telah dilakukan di lima pelabuhan utama iaitu di Pelabuhan Klang, Kuantan, Pulau Pinang, Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang. Tangkapan paling banyak berlaku di Pelabuhan Klang.

No comments:

Post a Comment